Friday, February 25, 2011

KEJAM Jurujual ditetak dan dilanggar

25 feb 2011

PEGAWAI perubatan memeriksa keadaan jurujual yang parah ditetak di Taman Tunas Manja 5, Kuantan, petang kelmarin.
Tangan kanan hampir putus dalam serangan bermotif dendam

KUANTAN: Seorang jurujual parah selepas tangan kanannya hampir putus ditetak dua lelaki menggunakan parang, selain mangsa turut dilanggar dengan kereta ketika cuba menyelamatkan diri, di Taman Tunas Manja 5, Lorong Air Putih di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa berusia 33 tahun diserang dua lelaki terbabit di hadapan rumahnya dengan kejadian dipercayai bermotifkan dendam.
Difahamkan, dua suspek terbabit datang ke rumah mangsa menaiki kereta Proton Gen2 dan bertindak menyerang mangsa sebaik keluar daripada kenderaan itu.
Mangsa yang tergamam cuba melindungi dirinya ketika ditetak menyebabkan tangan kanannya hampir putus dan dalam kesakitan, mangsa lari menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun, tidak sampai 80 meter berlari, mangsa dilanggar dua lelaki terbabit dari arah belakang menyebabkannya rebah sebelum seorang daripada lelaki berkenaan bertindak keluar dari kenderaan dan menetak pula kaki mangsa.

Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, beliau yang dalam perjalanan ke Semambu, di sini kebetulan terserempak dengan mangsa yang sedang berlari sambil meraung meminta pertolongan.

“Mangsa berlari ke arah saya, namun seketika kemudian sebuah kereta melanggarnya sebelum seorang lelaki keluar dan menetaknya.
“Ketika itu, saya berada kira-kira 10 meter dari mangsa dan penyerang terbabit yang menyedari kehadiran saya kemudian masuk semula ke dalam kenderaan sebelum beredar,” katanya.

Beliau kemudian membantu mangsa dan menghubungi polis sebelum ambulans tiba dan membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan segera.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, mengesahkan menerima laporan kes itu dan kini menyiasat punca sebenar serangan terhadap mangsa yang bekerja di sebuah premis makanan sejuk beku di Semambu.

sumber dari Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Harap anda dapat tinggalkan sedikit komen untuk bertukar pendapat.Penggunaan bahasa lucah dan kasar tidak dibenarkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...