Monday, May 2, 2011

Osama disah mati diserang Amerika di Islamabad

TERKINI @ 01:14:58 PM 02-05-2011
May 02, 2011
Gambar fail Osama bin Laden bertarikh 26 Mei 1998 ketika berada di Afghanistan. — Foto Reuters
WASHINGTON, 2 Mei — Pengasas dan pemimpin rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden telah terbunuh dalam satu serangan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad, Pakistan, demikian disahkan oleh Presiden Barack Obama pagi ini (waktu Malaysia). Jenazah Osama yang menjadi buruan AS sejak lebih satu dekad lalu ditemui di sebuah rumah besar di ibu negara Pakistan selepas dipantau sejak tahun lalu.
Obama mengesahkan laporan itu menerusi satu ucapan disampaikan ke seluruh negara itu (sekitar 11.30 pagi ini, waktu Malaysia).
Media AS menyiarkan secara langsung ucapan itu.
“Malam ini (waktu Washington), saya boleh melaporkan kepada rakyat Amerika dan dunia bahawa AS telah mengadakan satu operasi yang membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda, dan seorang pengganas yang bertanggungjawab ke atas kematian beribu-ribu orang yang tidak berdosa,” kata Obama dalam ucapannya.
Kata Obama, sejurus selepas mengambil alih jawatan presiden pada Januari 2009, beliau telah mengarahkan Pengarah CIA Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan perang mengatasi Al-Qaeda.
“Kemudian pada Ogos lalu, selepas kerja penat bertahun-tahun oleh komuniti risikan kita, saya diberi taklimat mengenai kemungkinan tangkapan Osama. Ia jauh daripada kepastian. Dan, ia mengambil masa berbulan untuk mengadakan operasi ini.
“Saya berulang kali bertemu dengan pasukan keselamatan saya ketika kami menghimpunkan lebih banyak maklumat mengenai kemungkinan bahawa kami telah mengesan tempat perlindungan Osama di satu kawasan dalam Pakistan,” katanya.
Kemudian pada minggu lalu, kata Obama, beliau pasti bahawa AS mempunyai maklumat secukupnya untuk mengambil tindakan dan telah memberi kelulusan bagi operasi membawa Osama ke muka pengadilan.
“Hari ini, atas arahan saya, AS melancarkan opersi yang disasarkan ke atas kawasan di Abad Abad, Pakistan,” kata Obama lagi.
“Selepas kejadian tembak-menembak, mereka membunuh Osama dan memperoleh jenazahnya,” katanya.
Osama mendahului senarai teratas orang dikehendaki oleh Washington sejak lebih satu dekad lalu.
Dalam pada itu laporan Reuters pula menyebut, menurut pegawai-pegawai Amerika Syarikat hari ini jenazah Osama telah dikesan oleh pihak berkuasa negara itu.
Laporan itu juga menyebut ia dilihat satu pencapaian besar bagi pentadbiran Obama dan pasukan keselamatan kebangsaannya.
Bekas Presiden George W. Bush telah berulang kali tertekad untuk membawa Osama, yang dilabel sebagai dalang peristiwa 11 September, sebelum tamat tempoh perkhidmatannya pada Januari 2009.
Obama menggantikan Bush pada awal 2009.
Osama, kelahiran Arab Saudi, berjaya membolosi buruan askar Amerika Syarikat dan militia Afghanistan di kawasan pergunungan Tora Bora sejak 2001.
Usaha mengesan Osama menjadi ‘dingin’ selepas beliau dikatakan hilang dan banyak maklumat risikan rasmi percaya beliau berselindung di Pakistan.
Sejak itu, Osama mencemuh Barat dan menyebarkan pandangan Islam militannya menerusi rakaman video.
Selain serangan 11 September, Osama juga dipertanggungjawabkan sebagai dalang serangan bom ke atas Kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada 1998 dan ke atas kapal perang USS Cole di Yemen dua tahun kemudian.   - [Msian Insider]


KLIK UNTUK SUPPORT SAMBUTAN HARI IBU

ARE YOUR FRIENDS ON CHURPCHURP?

No comments:

Post a Comment

Harap anda dapat tinggalkan sedikit komen untuk bertukar pendapat.Penggunaan bahasa lucah dan kasar tidak dibenarkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...